KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai keupayaan untuk bertanding di 73 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, berkata kajian lapangan oleh badan bebas baru-baru ini juga menunjukkan GRS mempunyai potensi untuk menang.
Bagaimanapun, katanya kemenangan itu dijangka kurang daripada dua pertiga kerusi yang dipertandingkan.
“Umum mengetahui hampir kesemua wakil rakyat dan pimpinan GRS adalah orang lama dalam politik malahan mempunyai penyokong tegar masing-masing.
“Mengambil contoh, walaupun Parti Gagasan Rakyat Sabah yang diterajui Datuk Seri Hajiji Noor adalah parti baharu tetapi barisan kepimpinan bahagian dalam parti itu adalah barisan kepimpinan orang lama dalam politik dan calon yang boleh menang pada PRN17,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Walaupun dengan potensi kemenangan itu, katanya Hajiji yang juga Pengerusi GRS tetap membuka ruang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN17 harus dilihat kepada mewujudkan kestabilan politik di Sabah.
Zulkarnain berkata, kerajaan ketika ini sedang rancak membangunkan negeri melalui Program Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), malah masih mengadakan rundingan bagi merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ini sudah tentu untuk menjayakan matlamat ini, kuncinya adalah kestabilan politik.
“Justeru, tuduhan kononnya Hajiji khuatir kalah pada PRN-17 sehingga menyarankan agar GRS bergabung bersama-sama PH dan BN adalah tuduhan jahat dan provokasi yang tidak mempunyai asas kukuh.
“Kerajaan negeri tertubuh hari ini juga asasnya adalah jasa baik PH yang menentang kudeta menjatuhkan Hajiji pada Januari 2023.
“Justeru bukan satu perkara yang menghairankan apabila Hajiji mengajak PH bersama-sama bekerjasama pada PRN17 kerana kedua gabungan parti ini adalah gabungan yang membentuk kerajaan negeri ketika ini,” katanya.
Beliau berkata, misi Hajiji untuk menyatukan GRS, PH dan BN pada PRN17 harus disokong semua pihak, malah ia juga adalah hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Info X