TAWAU: Dua motosikal disita selepas didapati membuat pelbagai kesalahan pengubahsuaian selain penunggang tiada lesen memandu dalam Operasi Khas Op Samseng Jalanan, malam tadi.
Operasi bermula kira-kira 11 malam itu dijalankan di sekitar kawasan daerah ini membabitkan pegawai rendah polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Operasi itu turut disertai anggota Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil operasi yang dijalankan, sebanyak 14 samab dikeluarkan kepada penunggang motosikal dan tiga saman kepada pemandu kereta di atas pelbagai kesalahan.
“Daripada itu, dua motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan pengubahsuaian dan tiada lesen.
“Sitaan itu dilakukan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengelakkan kesalahan yang berulang dan berterusan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata tujuan utama operasi ini dijalankan bagi mencegah aktiviti tidak bermoral dan berbahaya kepada diri sendiri.
“Selain itu mencegah aktiviti lumba haram juga pengubahsuaian motosikal yang tidak dibenarkan.
“Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihat supaya mematuhi undang-undang jalan raya yang telah termaktub dalam APJ 1987,” katanya. – Info X