Search

PRN17: PKR Sabah terbuka teroka ruang kerjasama

November 6, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah menyatakan keterbukaannya untuk meneroka ruang kerjasama dengan parti dalam Kerajaan Madani sebagai usaha memperkukuh kedudukan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).

Ketuanya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata berikutan itu pihaknya mengalu-alukan cadangan jawatankuasa rundingan kerusi PRN17 yang diutarakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, kelmarin dalam usaha mengukuhkan kerjasama baik dan kestabilan politik sedia ada.

Jelasnya, bagi tujuan yang sama juga, PKR Sabah bersama rakan parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengadakan perbincangan tidak rasmi semalam, sebagai permulaan ke arah kerjasama menghadapi PRN17.

Beliau berkata, perbincangan awal itu bagi meneliti titik pertemuan dan menghormati perbezaan pandangan dalam menentukan hala tuju politik Sabah yang memerlukan pendekatan berbeza dengan konteks Semenanjung.

“Dalam menghadapi PRN17, PH sudahpun membentuk Jawatankuasa Rundingan Kerusi dan mengadakan beberapa siri mesyuarat.

“PH Sabah akan menyelesaikan dulu perbincangan serta rundingan dalaman sebelum memulakan rundingan kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, dalam proses rundingan nanti PKR menekankan agar pendekatan inklusif dapat dilaksanakan secara adil.

“Perbincangan perlu juga meliputi pembahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, kuota pengerusi dan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), jawatan-jawatan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), kampung dan komuniti.

“PKR juga ingin menegaskan bahawa prinsip asas kerjasama ini perlu didasari oleh pengurusan tata kelola yang baik dan meletakkan kepentingan serta kebajikan rakyat sebagai keutamaan,” katanya. – Info X