PAPAR: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas van dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung dan merempuh sebatang pokok di Batu 23, Jalan Kimanis – Keningau, pagi ini.
Mangsa pemandu van jenis Toyota Hiace, Lee Jia Jun, 32, yang tersepit di tempat duduknya disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Rakan mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun terselamat namun cedera di bahagian pinggang hingga kaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Penguasa Bomba, Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.55 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 28 kilometer dari balai bomba.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati sebuah van terbabas ke gaung sedalam lebih enam meter. Terdapat dua mangsa tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan diberikan rawatan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Papar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa kedua juga berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 9.30 pagi,” katanya. – Info X