KENINGAU: Polis menahan seorang mekanik selepas tindakannya memukul anjing hingga mati menggunakan batang besi tular di media sosial.
Suspek lelaki berusia 39 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, di sebuah bengkel di Kampung Patikang, semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Keningau.
Katanya, hasil siasatan, polis berjaya mengesan dan menahan suspek terbabit yang bekerja sebagai mekanik.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku sebagai individu yang dirakam dalam kejadian berkenaan.
“Siasatan mendapati video itu dirakam oleh saksi iaitu rakan sekerja suspek pada 24 Oktober lalu di bengkel berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yampil berkata, suspek sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Keningau bagi mendapatkan perintah tahanan reman pagi tadi dan mahkamah membenarkan tempoh reman hingga 9 November ini bagi siasatan lanjut.
“Usaha mengesan beberapa orang saksi lain ketika kejadian masih diteruskan,” katanya.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Semalam, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki memukul seekor anjing berulang kali menggunakan batang besi tanpa belas kasihan.
Malah, seorang lagi individu merakam kejadian itu sambil ketawa sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai. – Info X