Search

Masiung kupas isu menjelang PRN17 di SICC, Jumaat ini

November 6, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah akan mengupas pelbagai isu semasa menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada seminar Ketua-Ketua Penerangan parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Jumaat ini.

Kupasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu akan dibuat menerusi sesi ceramahnya bertajuk Solidariti Menuju Pilihanraya yang menjadi pengisian utama seminar sehari berkenaan.

Seramai 300 peserta terdiri daripada Ketua-Ketua Penerangan Gagasan Rakyat dari 74 bahagian, termasuk Labuan dijangka menghadiri seminar itu yang dijadual dirasmikan Naib Presiden 1 Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Arifin Arif.

Selain mendengar ceramah, peserta juga berpeluang berbincang mengenai hala tuju Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Gagasan Rakyat dijadualkan mengadakan Persidangan Agung Tahunan 2024 pada 9 dan 10 November bermula dengan persidangan sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis yang akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Masidi Manjun pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden Gagasan Rakyat akan merasmikan Persidangan Agung Tahunan Induk pada 10 Ahad ini di SICC. – Info X