KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan tindakan untuk menjadikan Sabah sebagai bahan ujian bagi kerjasama politik pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) tidak boleh diterima.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata tindakan itu seolah-olah menjadikan negeri ini sebagai ‘tikus makmal’ dilihat sebagai merendahkan maruah rakyat negeri ini.
Tegasnya, Sabah tidak harus dijadikan bahan eksperimen untuk menguji keberkesanan kerjasama politik di antara parti dalam Kerajaan Perpaduan kerana ia akhirnya hanya membawa kerugian kepada Sabah.
“Dalam keadaan di mana semua parti sedang bersedia untuk menghadapi PRN, timbul pelbagai komen dan satu yang saya lihat serta tergores apabila ada pemimpin kata kita dijadikan makmal politik.
“Ertinya kita ini tidak lebih sebagai bahan politik, seolah-olah kita dilihat tidak penting, hanya dijadikan makmal ujian politik, ini sesuatu yang mengecewakan kita di Sabah.
“Adakah selama ini kita tidak menyumbang kepada kekayaan dan kekuatan sedangkan kekayaan Sabah disumbang kepada negara. Selepas semua ini, adakah kita hanya layak dijadikan bahan ujian politik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), di SICC, hari ini.
Masidi berkata, cukuplah sebelim ini Sabah dijadikan bahan ujian makmal politik pada 1990-an menerusi sistem penggiliran Ketua Menteri yang menetapkan tempoh perkhidmatan seseorang ketua menteri selama dua tahun.
“Jika kita lihat sejarah politik Sabah, ada beberapa keadaan di mana kita dijadikan sebuah eksperimen politik. Saya sebut tadi mengenai sistem penggiliran dua tahun yang bagi saya adalah eksperimen politik.
“Tapi saya tidak fikir ia mencapai keputusan yang diinginkan. Tempoh selama dua tahun terlalu pendek bagi seorang Ketua Menteri kerana masa yang singkat untuk melaksanakan sesuatu perkara,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata PRN17 tahun depan bakal menjadi ‘makmal’ untuk menguji kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN itu berkata PRN Sabah penting untuk menilai persefahaman bagi menghadapi pilihan raya umum seterusnya. – Info X