Search

545 penjawat awam ditahan SPRM

November 9, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Seramai 545 atau 43.4 peratus daripada 1,257 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini adalah penjawat awam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia membabitkan golongan pengurusan tertinggi iaitu sembilan tangkapan, manakala pengurusan profesional 181 tangkapan dan pelaksana/sokongan iaitu 357 tangkapan.

“Baki 712 individu atau 56.6 peratus yang ditahan bagi tempoh yang sama membabitkan golongan swasta dan orang awam.

“Antara kesalahan kes bagi penjawat awam iaitu terima rasuah, beri rasuah, tuntutan palsu, salah guna kuasa dan kes penggubahan wang haram (AMLA),” katanya ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Pejabat SPRM Sabah cawangan Keningau di Rumah Persekutuan, di sini, hari ini.

Tan Sri Azam Baki merasmikan pejabat baharu SPRM cawangan Keningau di Rumah Persekutuan, Keningau.

Hadir sama Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y Subbiah.

Mengulas lanjut, Azam berkata tangkapan membabitkan penjawat awam di seluruh negara masih tinggi berdasarkan hampir 50 peratus.

“Sewajarnya kalau kita mengatakan rasuah berkurangan dalam penjawat awam mesti di bawah 40 peratus dan makin menurun ikut tahun.

“Tetapi nampaknya isu rasuah dalam negara kita membabitkan penjawat awam masih lagi perlu ditangani dengan lebih teliti, jelas dan efektif,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pejabat baharu SPRM cawangan Keningau, Azam berkata tujuannya untuk memperluas perkhidmatan sekali gus mempermudahkan masyarakat setempat berurusan dengan Suruhanjaya ini.

“Saya mengharapkan masyarakat keseluruhannya terutama masyarakat di daerah ini dan luar bandar, mereka pun sudah celik dengan isu-isu semasa dan menyeru mereka datang untuk berjumpa dengan pegawai SPRM.

“Tidak perlu lagi menghantar email, WhatsApp atau media sosial… berhadapan dengan pegawai saya lebih mudah untuk mendapatkan penjelasan dengan lebih jelas.

“Saya memberi jaminan sekirannya ia berhubung maklumat rasuah, kita akan melindungi identiti mereka daripada masyarakat kecuali mereka mahu membuat aduan secara berterus terang,” katanya. – Info X