PAPAR: Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi komitmen untuk menyegerakan proses penilaian reka bentuk bagi mempercepatkan pelaksanaan Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi – Papar, di sini.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ia membabitkan laluan sepanjang 1.3 kilometer yang bermula dari Bulatan Sabindo hingga ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut, di Kinarut, dekat sini.
Katanya, projek bernilai RM67 juta itu kini di peringkat penyiapan reka bentuk sebelum proses penilaian dan pembukaan tender terbuka pada Januari depan, disusuli pemilihan kontraktor, manakala permulaan kerja tapak dijangka pada Mei 2025.
“KKR memberi komitmen bahawa proses penilaian reka bentuk oleh pihak perunding disegerakan dan tender dibuka pada Januari 2025, projek akan diiklankan untuk syarikat yang berminat memasuki tender.
“Projek ini membabitkan kerja menaik taraf jalan sedia ada daripada selorong sehala kepada jalan berkembar dua lorong dua hala,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha KKR, Datuk Zahrul Hakim Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Limbahau, Datuk Johnny Mositun dan Pegawai Daerah Papar, Muhammad Mohd Ali.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata proses pelaksanaan projek itu agak rumit kerana membabitkan banyak bangunan.
Katanya, peruntukan RM67 juta itu bukan saja untuk kos menaik taraf jalan raya, malah merangkumi pelbagai kos, termasuk pengambilan tanah dan kerja-kerja lain.
“Komponen utama projek ini ialah menaik taraf jalan, pengambilan tanah, membina jejantas pejalan kaki dan perparitan, menaik taraf dua persimpangan jalan raya, memasang lampu jalan, membina perhentian bas dan pengalihan utiliti,” katanya.
Projek yang dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan itu, katanya bertujuan mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang teruk di laluan terbabit ketika ini.
Armizan berkata, berdasarkan bancian lalu lintas pada 2021, dianggarkan 27,000 kenderaan menggunakan laluan berkenaan setiap hari.
“Jumlah itu dianggarkan sudah meningkat kepada 30,000 kenderaan pada masa ini sedangkan had standardnya hanya 25,000 kenderaan sehari.
“Jadi, memang sudah tiba masanya projek menaik taraf jalan raya ini dilaksanakan, bukan saja untuk manfaat rakyat Papar, malah pengguna dari daerah lain yang meggunakan jalan raya ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata KKR juga menyatakan komitmen untuk melaksanakan projek laluan alternatif bagi mengatasi kesesakan di Jambatan Papar dan menyambung laluan berkembar dua lorong dua hala di Jalan Papar Spur.
Katanya, setakat ini projek itu dalam proses penilaian bagi pelantikan juru perunding. – Info X