KOTA KINABALU: Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menjadikan persidangan agung tahunan kali ini sebagai platform membincangkan hala tuju pergerakan itu menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketuanya, Emmie Martin Idang, berkata perkara itu penting memandangkan ia adalah perhimpunan agung tahunan yang terakhir sebelum PRN17.
“Kita jangan sesekali lupa dan abaikan fakta bahawa ini adalah perhimounan agung tahunan kita yang terakhir sebelum memasuki fasa PRN tahun depan.
“Oleh itu, pentingnya kita menggunakan ruang dan kesempatan ini untuk sama-sama mencari kaedah, hala tuju, ketetapan dan membulatkan tekad mengukuhkan perjuangan parti kita,” katanya.
Beliau berlata demikian dalam ucapan dasar beliau sempena Peraidangan Agung Tahunan Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Sementara itu, Emmie berkata, walaupun Gagasan Rakyat bukan parti yang mempunyai sejarah berdekad panjang, tidak bermakna parti itu tidak komited untuk merubah suasana politik di negeri ini.
“Jika kita perhati arus semasa politik di Sabah ini, saya yakin kita semua dapat merasakan kembalinya politik yang berteraskan ‘Local Party’.
“Saya kira, dalam banyak pertemuan kita dengan rakyat Sabah sendiri sekalipun arus ‘Suara dan Nada Tempatan’ ini cukup kuat dan bergema di segenap peringkat, senada dengan semangat ‘GEMA Beliawanis’ yang kita pasakkan di dalam setiap langkah kita,” katanya.
Emmie berkata, landasan perubahan dan sifat dinamik itulah yang melahirkan Gagasan Rakyat, sebuah parti yang relatifnya baru dan berusia muda tapi mampu menjadi lebih tangkas dan komited.
“Kita perlu buktikan kepada masyarakat bahawa baru dan mudanya usia kita kita itu bukan bermakna kita lemah dan tidak matang.
“Kita juga perlu buktikan bahawa walaupun secara teknikalnya baru, tetapi parti kita diterajui dan dinahkoda oleh kalangan pemimpin yang mempunyai kebijaksanaan, kematangan, ketenangan, kesungguhan dan komited untuk membantu rakyat Sabah.
“Kita di Pergerakan Beliawanis harus cukup berbangga dan yakin, bahawa pimpinan utama kita khsususnya Presiden, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan rakan-rakan pimpinan tertinggi telah memimpin kita dan negeri Sabah keseluruhannya dengan cukup tenang dan penuh kebijaksanaan,” katanya. – Info X