Search

Usaha memperkasa wanita tidak tercicir

November 10, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Usaha memperkasa wanita, ekonomi dan pendidikan tidak tercicir di bawah kerajaan negeri sekarang yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Perkara itu diakui Ketua Pergerakan Wanita Pergerakan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda berdasarkan pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri.

“Kita tengok sendiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Presiden Gagasan Rakyat mentadbir kerajaan dengan membawa hala tuju yang berfokus tanpa mengenepikan aspek yang berkepentingan kepada wanita, ekonomi dan pendidikan.

“Sejak kerajaan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, ketika itu pertumbuhan ekonomi negatif 7.5 peratus.

“Namun setelah mentadbir, angka itu bertukar dan pada 2021, ia telah meningkat 1.5 peratus, disusuli 3.5 peratus, empat peratus pada 2023 dan tahun ini diunjur meningkat kepada 4.5 peratus,” katanya.

Datuk Redonah Bahanda.

Beliau berkata demikian ketika pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.

Redonah berkata, Sabah turut merekodkan peningkatan hasil kepada RM5.49 bilion pada 2021 dan meningkat lagi pada 2022 menjadi RM6.96 bilion, diikuti RM6.97b pada 2023.

Jelasnya, peluang pekerjaan juga terbuka luas melalui kilang Kibing dan kilang simen yang memberi peluang pekerjaan kepada lebih 2,500 orang dan170 jurutera terdiri daripada anak Sabah.

“Selain itu, kita dengar dan nampak usaha kerajaan negeri membantu rakyat, melalui rumah SMJ.

“Tahun ini peruntukan sebanyak 20 rumah diberikan untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri dan jumlah ini akan bertambah menjadi 40 buah rumah untuk setiap DUN pada tahun hadapan, alhamdulillah,” katanya.

Redonah berkata usaha keras Kerajaan Negeri juga termasuk dengan mewujudkan pelbagai bantuan pendidikan serta biasiswa kepada pelajar anak Sabah, bantuan kos penerbangan pelajar pulang semasa perayaan sebanyak RM600 dan pengangkutan dalam negeri berjumlah RM300.

“Suka juga untuk saya fokuskan kepada semua perwakilan wanita yang hadir pada hari ini, untuk peka terhadap segala usaha Kerajaan Negeri membawa perubahan kepada rakyat.

“Sumbangkan tenaga anda melalui media sosial, komen, dan kongsikan hebahan usaha-usaha ini kepada semua pihak kerana inilah yang membuktikan kekuatan kita dalam parti, kita mendukung ketua dan pimpinan kita di atas,” katanya.

Redonah juga berkata Kerajaan Negeri memperuntukan RM1.5 juta kepada Persatuan Wanita Negeri Sabah dan RM6.3 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) serta RM700 ribu bagi Penasihat Wanita Sabah. – Info X