KOTA KINABALU: Meskipun berjiwa tempatan, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tetap menjulang semangat Persekutuan Malaysia berteraskan citra kebangsaan, kata presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, Gagasan Rakyat akan memainkan peranan yang signifikan dalam kancah politik nasional bagi mengangkat agenda pembangunan negeri dan negara.
“Sepertimana yang saya sering nyatakan, Gagasan Rakyat adalah sebuah parti tempatan yang dianggotai oleh pelbagai latar belakang agama dan bangsa.
“Gagasan Rakyat lahir atas manifestasi aspirasi akar umbi yang mahu pimpinan di Sabah bergerak dan berjuang melalui parti lokal.
“Naratif ini tidak datang secara semberono, jauh sekali direka. Ia adalah kemahuan majoriti rakyat Sabah.
“Atas sebab itu, kita mesti meletakkan Gagasan Rakyat sebagai parti yang kuat serta mendapat sokongan yang padu dan jitu dalam kalangan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Gagasan Rakyat meletakkan tiga teras perjuangan yang disimpulkan dalam akronim SMJ, iaitu S – Stabil Politik, M – Makmur Negeri dan J – Jaminan Kesejahteraan.
“Ketiga-tiga teras ini amat bertepatan sekali dengan Hala Tuju SMJ yang kita gagaskan lebih tiga tahun yang lalu.
“Saya yakin dan percaya, Sabah hanya boleh dibangunkan serta dimajukan dengan adanya kestabilan politik.
“Malah, kestabilan itu perlu bermula daripada parti kita sendiri, baik di peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri. Kita wajib mengelak daripada berlakunya perpecahan dan pergeseran.
“Segala perbezaan yang wujud mesti diselesaikan dengan baik dan bijaksana. Jika kita bersatu, Gagasan Rakyat akan menjadi lebih kuat dan dihormati,” katanya. – Info X