Search

Penyelia syarikat ditahan kes gangguan seksual pelajar praktikal

November 10, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang penyelia kewangan di sebuah syarikat perladangan di daerah ini ditahan selepas dipercayai melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelajar praktikal wanita di syarikat berkenaan, semalam.

Suspek berusia 34 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, selepas polis menerima laporan daripada mangsa berusia 23 tahun.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner, Jasmin Hussin berkata, kejadian didakwa telah berlaku di sekitar pejabat syarikat berkenaan, pada 4,5,6 September lalu.

Katanya, mangsa seorang pelatih industri mendakwa telah berulang kali menjadi sasaran gangguan seksual daripada suspek.

“Mangsa ditanya oleh suspek beberapa soalan dengan menggunakan perkataan lucah kepada mangsa sehingga menyebabkan dia tidak berasa selesa.

“Suspek juga didakwa merendah-rendahkan mangsa memandangkan mangsa dijaga oleh datuk dan neneknya. Suspek turut membandingkan mangsa dengan pelajar praktikal sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, susulan daripada itu, pada 12.10 tengah hari semalam, polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau telah menahan suspek di sekitar bandar.

“Suspek dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 kanun yang sama.

“Polis memandang serius dalam menangani kes gangguan seksual di tempat kerja dan akan memastikan siasatan yang dijalankan dengan telus dan adil,” tegasnya. – Info X