Search

Anggota bomba padam sendiri kebakaran rumah pusaka

November 11, 2024

Info X Reporters

BELURAN: Seorang anggota bomba memadam sendiri rumah pusaka berusia lebih 40 tahun miliknya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Sapi, di sini, awal lagi tadi.

Kejadian itu juga menyebabkan iparnya berusia 35 tahun cedera ringan melecur di bahagian tangan ketika menyelamat diri bersama tiga ahli keluarga yang lain.

Pegawai Bomba (PB) Cliverenno Melikim berkata, sedih dan terkilan melihat sendiri rumah pusaka berusia lebih 40 tahun peninggalan mendiang datuknya musnah.

Katanya, ketika kejadian beliau sedang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran dan terkejut selepas menerima panggilan berhubung kebakaran itu.

“Sebaik sahaja menerima panggilan, saya amat terkejut namun kuatkan semangat untuk bergerak ke lokasi terletak kira-kira 26 kilometer dari balai.

“Setiba di lokasi, rumah pusaka musnah terbakar. Amat sedih dan terkilan namun rakan-rakan sekerja memberi kata-kata semangat sebelum kami mengatur gerak operasi pemadaman kebakaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rumah pusaka milik PB Cliverenno Melikim yang musnah terbakar di Kampung Kuala Sapi, Beluran. – Foto/Bomba

Menurutnya, laluan masuk ke rumahnya berbukit dan jalan dalam proses penambahbaikan.

“Ketika kejadian, ipar bersama dua anak dan anak saudara berada di rumah dan semua mereka sempat menyelamatkan diri dengan terjun melalui tingkap rumah. Ipar saya mengalami cedera ringan melecur di bahagian tangan,” katanya.

Cliverenno berkata, rumah berkenaan didirikan datuknya sebelum diserahkan kepada ibunya, dan dibesarkan di rumah itu.

“Buat masa ini, kami sekeluarga menumpang di rumah saudara yang terletak berdekatan dengan lokasi rumah pusaka itu.

“Rumah hilang dalam sekelip mata, namun tetap bersyukur semua ahli keluarga selamat daripada kebakaran ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Beluran, Penolong Penguasa Bomba, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.29 pagi dan sebuah jentera bomba serta 11 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi didapati sebuah rumah terbakar dan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dengan satu pancutan dari sumber air sungai.

“Kebakaran dapat dikawal pada 3.58 pagi dan operasi ditamatkan jam 6.25 pagi. Terdapat seorang mangsa wanita cedera ringan dan diberi rawatan awal oleh pasukan bomba.

“Rumah yang terbakar merupakan milik pusaka seorang anggota bomba. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X