KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas yang pengsan ketika membaiki bumbung rumah di Taman Khidmat, di sini, diselamatkan pasukan bomba hari ini.
Mangsa berusia 68 tahun itu dikatakan sedang membuat kerja-kerja menampal bumbung yang bocor sebelum jatuh pengsan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 12.12 tengah hari.
Katanya, seramai 11 pegawai dan anggota dari BBP Lintas dan Kota Kinabalu bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba terus menjalankan operasi menurunkan mangsa menggunakan tangga dan jungkin stretcher.
“Mangsa seterusnya diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS di tempat kejadian sebelum dihantar ke hospital menaiki Jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan sedarkan diri dan stabil.
“Operasi ditamatkan kira-kira jam 1 tengah hari,” katanya. – Info X