PAPAR: Polis menahan seorang lelaki selepas memandu dalam keadaan merbahaya dengan melawan arus di Kilometer 8, Lebuhraya Pan Borneo, di sini, yang tular di media sosial, sejak pagi tadi.
Pemandu treler berusia 38 tahun itu ditahan pagi tadi, oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar selepas terkesan video tular berkenaan.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, selepas terkesan video tular itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Papar menjalankan siasatan bagi mengesan treler berkenaan.
“Pasukan polis trafik akhir berjaya mengesan dan menahan treler itu berhampiran Pekan Papar.

“Pemandu dan kenderaan kemudian dibawa ke IPD Papar untuk siasatan lanjut, kira-kira jam 10 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kamaruddin berkata, hasil siasatan awal polis, mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.30 pagi, pada 8 November lalu.
“Ketika kejadian itu, pemandu treler jenis Nissan dari Nagapas menuju ke Kota Kinabalu.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu tersilap jalan kerana keliru simpang jalan dan masuk aliran trafik yang salah hampir 20 meter.
“Pemandu mengambil tindakan dan terus mengundur treler untuk masuk ke laluan asal,” katanya.
Menurutnya, tiada kemalangan yang dilaporkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan sebuah treler dipandu melawan arus.
Berdasarkan video berdurasi 54 saat yang dikongsikan di media sosial itu, kejadian berlaku pada kira-kira jam 9.30 pagi di satu selekoh selepas laluan lurus di kawasan sawah padi.
Seorang pemandu yang berkongsi situasi itu bersyukur mengesan lebih awal kehadiran kenderaan berat itu yang bergerak di laluan laju sebelum dia memandu kenderaannya ke lorong kiri bagi mengelak daripada bertembung.
Beliau turut berkongsi nombor pendaftaran kenderaan terbabit dan meletak tanda #PDRM serta #JPJ. – Info X