Search

PRN17: Salleh calon BN di Usukan, Jeffrey Nor di Tanjung Keramat

November 11, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah setakat ini sudah mengumumkan dua nama bakal calon bagi kerusi yang mahu ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).

Dua nama itu masing-masing Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak di kerusi DUN Usukan dan Ketua UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed di Tanjung Keramat.

Nama Salleh diumumkan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada program Gerak 17 UMNO Sabah bagi DUN Usukan di Kota Belud, kelmarin, manakala nama Jeffrey Nor diumumkan pada akhir bulan lalu.

Berbeza dengan Salleh selaku penyandang kerusi, Jeffrey Nor adalah muka baharu diberi kepercayaan bagi merampas kerusi DUN Tanjung Keramat yang disandang Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Shahelmey memenangi kerusi itu pada PRN16 atas tiket BN sebelum digantung keahlian dalam UMNO selama enam tahun bermula awal tahun lalu kerana menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selepas UMNO dan BN Sabah menyatakan hilang kepercayaan terhadap Hajiji dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Mengenai pemilihan Salleh, Bung Moktar berkata bekas Ketua Menteri Sabah itu memenuhi kriteria yang diperlukan selain sejajar dengan aspirasi rakyat di kawasan Usukan yang mahukan Salleh terus dikekalkan.

“Beliau (Salleh) menabur bakti dan sumbangan besar kepada parti dan rakyat khususnya di kawasan ini. Selain memenuhi kriteria yang diperlukan ia juga adalah pilihan rakyat di kawasan ini,” katanya pada program Gerak 17 UMNO Sabah bagi DUN Usukan, di Kota Belud, kelmarin.

Bung Moktar berkata, DUN Usukan adalah kawasan pertama melahirkan UMNO di Sabah melalui pilihan raya kecil (PRK) pada 11 Mei 1991 yang dimenangi calon dari UMNO, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Katanya, sebagai anak sulung kelahiran UMNO di Sabah, rakyat Usukan perlu mengembalikan momentum itu bagi memastikan DUN Usukan dan semua kawasan lain yang pernah ditandingi UMNO / BN kembali ke pangkuannya. – Info X