Search

Bomba jalan kaki 5 km redah hutan selamatkan lelaki dihempap pokok

November 12, 2024

Info X Reporters

KOTA BELUD: Pasukan bomba terpaksa meredah hutan dan bukit bukau sejauh lebih lima kilometer untuk menyelamatkan seorang lelaki yang parah selepas dihempap pokok di kebunnya di Kampung Tindakon, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 26 tahun parah di beberapa bahagian badan akibat dihempap pokok ketika menjalankan aktiviti memotong pokok di kebunnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada jam 10.34 pagi.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi sejauh 22 kilometer bagi melaksanakan operasi menyelamat.

“Jarak ke lokasi mangsa dihempap pokok dari jalan raya utama sejauh lebih lima kilometer dan pasukan bomba terpaksa berjalan kaki dengan meredah hutan dan bukit bukau.

“Sebaik tiba, anggota bomba memberikan rawatan awal dan membawa mangsa keluar ke jalan utama menggunakan pengusung (stretcher) dengan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibawa ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 3.07 petang selepas pasukan bomba memastian tiada bahaya lain wujud di lokasi kejadian,” katanya. – Info X