KOTA KINABALU: Bekas Kapten Sabah FC, Mohd Amri Yahyah antara pemain pasukan lawan yang bakal mencabar Sang Badak pada Pusingan 16, saingan Piala Malaysia 2024 yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Amri yang sering digelar ‘Ketua Kampung Likas’ sepanjang bersama Sabah FC sehingga akhir musim lalu kini bermain bersama kelab Liga A1 Semi Pro, PT Athletic FC yang menjadi lawan Sabah FC pada saingan itu nanti.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berpandangan kelab itu mungkin boleh mengatasi Sabah FC jika pemain Sang Badak gagal memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perlawanan.
Katanya, meskipun undian perlawanan Piala Malaysia kali ini kelihatan berpihak kepada Sabah, namun dengan format kejohanan kalah mati, semua pasukan akan memberi cabaran terbaik masing-masing.
“Lebih menarik, apabila kita akan bertembung semula dengan bekas pemain Sabah FC iaitu Amri Yahyah yang kini beraksi untuk PT Athletic.
“Kita tak boleh memikirkan jalan mudah, apa yang penting Sabah FC harus layak ke peringkat seterusnya. Kita tidak ingin memikirkan siapa lawan selepas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Apa yang penting, katanya Sabah FC perlu menewaskan PT Athletic FC terlebih dahulu dalam dua perlawanan pusingan 16 itu nanti.
“Selepas itu, baru kita memikirkan langkah seterusnya. Kalau kita lihat senarai pemain PT Athletic mereka dibarisi oleh pemain cukup berpengalaman.
“Kita harus waspada dengan apa juga yang akan berlaku dalam
perlawanan itu nanti termasuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada beberapa pemain lain PT Athletic FC yang mempunyai pengalaman luas dalam Liga Malaysia,” katanya. – Info X