KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya memulakan segera siasatan terhadap dakwaan skandal rasuah membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.
Gesaan itu disuarakan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Sabah yang menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai sesuatu yang serius dan membawa implikasi besar terhadap pentadbiran negeri dan negara.
Timbalan Ketua Negeri, PEJUANG Sabah, Razif Abdillah, berkata SPRM mempunyai kuasa di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) bagi membolehkan siasatan segera dilakukan terhadap kes tanpa perlu menunggu sehingga laporan dibuat.
“PEJUANG Sabah menegaskan perlunya SPRM dan pihak berkuasa yang lain memulakan siasatan ke atas dakwaan aktiviti rasuah yang berlaku ketika ini di Sabah membabitkan beberapa orang ADUN.
“Ia satu masalah yang amat serius melanda negara kita melalui pelbagai kes sebelum ini dan sedikit sebanyak mencacatkan reputasi negara di mata dunia. Kini, ia dikhabarkan berlaku di Sabah membabitkan nama-nama besar pemimpin.
“Kita harus sedar implikasi rasuah melalui salah guna kuasa, penggunaan wang sebagai sogokan kepada sesuatu projek mahupun tatakelola atau pentadbiran yang lemah, secara langsung merapuhkan struktur pentadbiran sesebuah negara atau negeri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau memberi contoh beberapa kes yang mana tindakan dilakukan dengan kadar segera seperti kes Aman Palestin dan Fashion Valet yang ketika ini sedang giat disiasat.
Selain itu, katanya beberapa kes yang menbabitkan figura besar pimpinan begara juga boleh dirujuk bagi membolehkan siasatan segera dibuat ke atas dakwaan skandal rasuah membabitkan ADUN di Sabah.
“Cukup-cukuplah dengan masalah integriti yang lemah sentiasa bermain di ruang legar negara, rakyat Sabah harus bangun dan bersatu untuk memerangi sikap yang boleh membunuh keperkasaan sesuatu institusi khususnya pentadbiran negeri.
“Ada yang mula mengkasifikasikan bahawa bukti yang tersebar yakni klip suara itu kononnya kecerdasan buatan (AI). Sekuat manapun teknologi yang ada, ia harus dimulai dengan siasatan untuk sebarang pengesahan atau pembuktian sama ada sahih atau fitnah,” katanya.
Katanya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sendiri melalui kenyataan beliau, juga terbuka untuk sebarang siasatan, malahan turut menyarankan supaya siasatan ke atas pemberi rasuah juga dilakukan.
“Dakwaan berkaitan kes ini harus dibongkar kerana di penghujungnya nanti, pasti akan ada pihak yang bersalah. Ini yang kita mahu.
“Maka itu, saya yakin seluruh rakyat ketika ini mengharapkan satu langkah yang lebih telus daripada pihak berkuasa agar perkara ini dapat diselesaikan,” katanya. – Info X