KOTA KINABALU: Jemaah Menteri Persekutuan meluluskan cadangan projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) membabitkan peruntukan RM442.3 juta.
Berdasarkan kenyataan Kementerian Pengangkutan, kelulusan itu diputuskan pada 8 November lalu dengan pra pembinaan bermula pada tahun ini.
Katanya, projek naik taraf itu mengambil masa 48 bulan dengan jangkaan siap pada 2027.
“Projek ini menelan kos RM442.3 juta, dibiayai sepenuhnya menerusi inisiatif pembiayaan swasta oleh MAHB tanpa melibatkan jaminan kerajaan,” kata kenyataan itu.
Skop projek menaik taraf KKIA merangkumi pembesaran Terminal Utama dengan menambah kapasiti terminal daripafa sembilan juta kepada 12 juta penumpang setahun bagi memastikan pengalaman perjalanan yang selesa dan lancar.
Selain itu, kemudahan baharu turut ditambah menerusi pembinaan kawasan parkir bertingkat dan tambahan tujuh ruangan parkir pesawat (apron).
Katanya, skop naik taraf turut membabitkan infrastruktur sokongan iaitu penambahbaikan jalan raya sekitar lapangan terbang dan penggunaan teknologi hijau.
Turut dimasukkan ialah adaptasi Teknologi Airport 4.0 dengan mengintegrasikan automasi
dan teknologi canggih untuk meningkatkan kecekapan operasi.
Kenyataan itu menyebut, ketika ini KKIA berkapasiti sembilan juta penumpang setahun (mppa), menjadikannya lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Pada 2019, KKIA mencatat kapasiti penumpang sebanyak 9.4 mppa, melebihi kapasiti semasa. Walaupun penurunan dicatatkan pada 2020 dan 2021 akibat pandemik COVID-19, jumlah penumpang kembali meningkat pada 2023 kepada 7 mppa.
“Berdasarkan unjuran, jumlah ini dijangka meningkat kepada 12.4 mppa menjelang 2034. Sehingga Oktober 2024, KKIA mencatat jumlah penumpang sebanyak 6.6 juta, meningkat 13.4 peratus berbanding tempoh yang sama
pada 2023,” katanya.
Kementerian Pengangkutan berkata projek menaik taraf KKIA adalah satu komitmen kerajaan dalam memastikan infrastruktur di Sabah bukan saja memenuhi keperluan semasa, malah bersedia
menghadapi permintaan masa depan. – Info X