KOTA KINABALU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah mengeluarkan empat notis terhadap empat kenderaan bagi menjalani ujian semula selepas dikesan mengeluarkan asap hitam.
Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ketika Ops Bersepadu Peringkat Kebangsaan di Taman Awam Teluk Likas, di sini, semalam.
Operasi selama empat jam yang bermula pada jam 9.30 pagi itu disertai 60 anggota pelbagai agensi penguatkuasa.
Timbalan Pengarah JAS Sabah, Yaras Yusup berkata sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 96 kenderaan enjin diesel dan enjin petrol menjalani pemerhatian secara visual.
“16 kenderaan diuji menggunakan alat pengukur petrol serta meter asap. Tiga kenderaan akan disyor kompaun manakala empat kenderaan diberi notis untuk uji semula mengikut Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah juga mengeluarkan 16 saman manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah mengeluarkan 57 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas kepada setiap kenderaan yang diperiksa,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Katanya, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) juga melakukan pemeriksaan terhadap 15 van dan pelancong manakala Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menjalankan ujian air kencing terhadap 16 individu dalam operasi ini.
“Pihak JAS Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Petrol) 1996.
“Tindakan tegas seperti kompaun dan pendakwaan di mahkamah boleh diambil sekiranya kenderaan yang diperiksa gagal melepasi ujian pengukuran asap hitam bagi kenderaan enjin diesel dan gas bagi kenderaan enjin petrol.
“Kita juga akan melaksanakan kawalan bunyi bising motorsikal dalam operasi yang seterusnya,” katanya. – Info X