Search

Bung Moktar minta kerajaan Pusat perincikan peruntukan disalur ke Sabah

November 14, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta memperincikan jumlah peruntukan yang disalurkan kepada Sabah pada setiap tahun belanjawan yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata perkara itu penting supaya rakyat mendapat maklumat yang tepat mengenai jumlah sebenar peruntukan yang disalurkan untuk pembangunan negeri ini.

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan jumlah peruntukan yang diagihkan seimbang dengan projek yang dilaksanakan bagi memenuhi keperluan rakyat di Sabah.

“Sebagai contoh dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini, Sabah menerima peruntukan sebanyak RM6.7 billion, persoalannya apakah jumlah itu telah disalurkan dan dibelanjakan sepenuhnya untuk tujuan pembangunan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, beliau sebelum ini mengemukakan pertanyaan di Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyatakan jumlah sebenar peruntukan yang sudah digunakan bagi setiap projek pembangunan di Sabah pada 2021, 2022 dan 2023.

Jelasnya, peruntukan kepada Sabah dalam ketiga-tiga tahun itu masing-masing berjumlah RM5.1 bilion, RM5.2 bilion dan RM 6.5 bilion.

Dalam jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wiilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berhubung pertanyaan itu, Bung Moktar dimaklumkan bahawa peruntukan yang digunakan bagi setiap projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk Sabah, khususnya bagi RP1/2021 ialah sebanyak 4,517,526,970, manakala yang dibelanjakan RM3,313,549,108.

Bagi RP2/2022 pula, katanya peruntukan yang diberikan ialah sebanyak RM5,711,946,622. manakala RM4,458,815,991 dibelanjakan, sementara bagi RP3/2023, peruntukan yang disediakan sebanyak RM6,502,666,400, manakala yang dibelanjakan RM4,931,055,664.

Mengulas jumlah peruntukan yang disediakan berbanding yang dibelanjakan itu, Bung Moktar berkata, terdapat jurang yang ketara yang mana peruntukan disediakan tidak dapat dibelanjakan sepenuhnya dan ia memerlukan penjelasan pihak yang berkenaan punca berlakunya perkara itu.

Ketua UMNO Sabah itu berkata, pihak yang berkaitan dengan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini sama ada di peringkat kerajaan Pusat atau negeri perlu memperincikan projek yang telah dilaksanakan mengikut peruntukan yang disediakan bagi membolehkan rakyat mengetahui keadaan yang sebenarnya.

“Tidak dinafikan ada projek tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya disebabkan beberapa faktor seperti teknikal dan sebagainya menyebabkan peruntukan yang disediakan tidak dapat digunakan sepenuhnya dan dikembalikan kepada kerajaan yang mana perkara ini adalah satu kerugian kepada rakyat di negeri ini selain membantutkan usaha untuk membangunkan Sabah,” katanya. – Info X