Search

Dua lelaki melecur dalam insiden kebakaran rumah di Labuan

November 14, 2024

Info X Reporters

LABUAN: Dua lelaki melecur di bahagian bahu dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Ranggu, Jalan Rancha-Rancha, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 2.30 pagi itu turut menyebabkan enam kereta jenis Proton Saga, Iswara, Toyota Avanza, Hilux, Honda CRV dan Van Nissan Vanette terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rancha-Rancha dan Labuan Sentral dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu.

“Kebakaran membabitkan dua rumah kediaman yang membabitkan kemusnahan 90 dan 100 peratus, manakala enam kereta pelbagai jenis turut terbakar.

“Dua lelaki berusia 20 dan 38 cedera ringan melecur di bahu kanan dan kiri. Rawatan awal dijalankan oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dua rumah dan enam kereta terbakar di Kampung Ranggu, Jalan Rancha-Rancha, Labuan. – Foto/Bomba

Menurutnya, tindakan operasi pemadaman menggunakan dua aliran, empat pancutan dengan sumber air dari jentera dan pili bomba berhampiran.

“Keadaan terkawal 39 minit kemudian sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.27 pagi.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X