Search

Dakwaan skandal rasuah: GRS tidak terjejas – Joniston

November 14, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak terjejas walaupun berdepan tekanan berikutan tuduhan salah laku yang didakwa membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada gabungan itu.

Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata jika dakwaan itu adalah cubaan untuk memburukkan GRS, ia tidak akan melemahkan komitmen gabungan berkenaan untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Katanya, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, juga sudah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara itu secara terperinci.

“Ketua Menteri juga memberi jaminan bahawa kerajaan pimpinan GRS akan memberikan kerjasama penuh kerana tiada yang perlu disembunyikan.

“Jika dakwaan itu berniat untuk memecah belah kita (kerajaan pimpinan GRS), kenapa kita perlu membiarkannya menjejaskan kita,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Joniston yang juga Ketua Penerangan PBS, berkata GRS berpegang teguh kepada prinsip ketelusan dan akauntabiliti dan akan terus mengamalkannya.

Datuk Joniston Bangkuai.

Katanya, tindakan pihak yang terbabit menyebarkan dakwaan itu ketika Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) semakin hampir, turut menimbulkan persoalan mengenai niat sebenarnya untuk mencemarkan pencapaian GRS.

“Walaupun dalam kebisingan itu, GRS kekal fokus terhadap perkara yang lebih penting iaitu memajukan Sabah ke hadapan dan menambah baik kehidupan rakyatnya,” katanya. – Info X