KOTA KINABALU: Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM6.421 bilion, menjadikannya yang tertinggi dalam sejarah belanjawan negeri ini.
Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, bagaimanapun berkata belanjawan tahun depan masih mencatat lebihan RM24.08 juta berikutan unjuran hasil negeri tahun depan mencapai RM6.445 bilion.
Katanya, belanjawan bertemakan ‘Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera’ itu menekankan strategi pengagihan peruntukan kepada sektor produktif dengan keyakinan pertumbuhan ekonomi negeri yang kukuh ke arah meningkatkan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Saya ingin menegaskan betapa pentingnya untuk kita berbelanja mengikut keupayaan berasaskan sumber hasil yang mampu dikutip. Semua pihak perlu mengutamakan pengurusan yang cekap dan mengamalkan disiplin kewangan yang tinggi.
“Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Sabah untuk memantapkan kedudukan kewangan di samping menangani masalah ketirisan dan pembaziran hasil.
“Justeru itu, bagi merealisasikan matlamat tema Belanjawan Negeri 2025, Kerajaan Sabah julung kalinya mencadangkan satu Anggaran Perbelanjaan Perbekalan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM6.421 bilion dengan Anggaran Hasil Negeri sebanyak RM6.445 bilion.
“Meskipun begitu, Belanjawan
Negeri 2025 masih mencatatkan Belanjawan Lebihan (Surplus Budget) sebanyak RM24.08 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, petang tadi.
Masidi berkata, anggaran hasil Sabah sebanyak RM6.445 bilion pada tahun depan disumbangkan menerusi Hasil Cukai sebanyak
RM2.744 bilion, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM2.551 bilion dan Terimaan Bukan Hasil iaitu Terimaan dan Sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan dengan anggaran RM1.15 bilion.
Katanya, Hasil Cukai Sabah pada tahun depan dijangka dikutip menerusi Cukai Jualan Negeri (CJN) yang merangkumi Cukai Jualan Negeri (CJN) RM2.597 bilion, Sewa Tanah RM108 juta serta Cukai Pelabuhan dan Dermaga RM39.50 juta.
“Hasil Bukan Cukai pula, penyumbang utamanya ialah Royalti Petroleum RM1.297 bilion; Faedah dan Perolehan dari Pelaburan RM512.47 juta; Jualan Air RM304 juta; Premium Tanah RM152 juta serta Royalti Bayaran Keluaran Hutan dan Eksport Kayu Diproses RM134.50 juta,” katanya.
Masidi berkata, daripada RM6.421 bilion yang dicadangkan untuk Anggaran Perbekalan 2025, sebanyak RM5.441 bilion diperuntukkan bagi membiayai Perbelanjaan Mengurus, manakala RM980 juta untuk Pencaruman Kepada Kumpulan Wang Pembangunan.
Katanya, peruntukan bagi perbelanjaan mengurus meningkat sebanyak RM719.9 juta bersamaan 13 peratus pada 2025 berbanding anggaran asal 2024 iaitu RM5.701 bilion bertujuan menampung Perbelanjaan Emolumen, Perbelanjaan Berulang dan Perbelanjaan Khas.
“Sebanyak RM903.91 juta dicadangkan untuk Perbelanjaan Emolumen bagi membiayai gaji penjawat awam negeri. Jumlah ini mencatat kenaikan sebanyak RM95.85 juta atau 12 peratus berbanding belanjawan asal tahun ini disebabkan kenaikan gaji tahunan.
“Kenaikan itu turut disebabkan pelarasan kenaikan gaji lapan peratus (Fasa 1) selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan berkuatkuasa pada 1 Disember 2024, selain pertambahan pelantikan baharu penjawat awam negeri,” katanya.
Masidi berkata, sebahagian besar belanjawan Sabah pada tahun depan diagihkan kepada Kementerian Kewangan negeri iaitu RM3.073 bilion untuk perbekalan dan RM5 juta untuk pembangunan, diikuti Kementerian Kerja Raya negeri (RM1.097 bilion perbekalan, RM249.86 juta pembangunan). – Info X