KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah amat memandang serius masalah ketidakcukupan air yang menjadi isu hangat pelbagai pihak di negeri ini.
Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata berikutan itu, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) diperuntukkan RM729.79 juta bagi menangani isu itu pada tahun depan.
Katanya, peruntukan itu bagi melaksanakan program penyelesaian segera dan jangka pendek bagi meningkatkan kapasiti dan keberkesanan sistem bekalan air, sekali gus memastikan keperluan air rakyat dapat dipenuhi dengan lebih baik.
“Sebagai penyelesaian jangka sederhana dan jangka panjang, sebanyak RM174.86 juta melalui pembiayaan Program Pinjaman Mudah Persekutuan akan diperuntukkan pada tahun hadapan.
“Peruntukan ini melibatkan pelaksanaan tiga projek menaik taraf loji rawatan air serta penggantian dan menaik taraf pam penggalak bagi muka sauk dan loji rawatan air (LRA) di Putatan, Beaufort, Papar, Keningau, Lahad Datu dan Kota Kinabalu,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Selain itu, Masidi berkata bagi meningkatkan liputan perkhidmatan bekalan air terawat termasuk pembangunan infrastruktur bekalan air bersih di luar bandar, geran Persekutuan sebanyak RM100.01 juta turut disediakan.
Katanya, peruntukan itu disalurkan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada tahun hadapan bagi melaksanakan program Bekalan Air Luar Bandar.
Sementara itu, Masidi mengumumkan penyediaan peruntukan RM75 juta bagi membina jalan alternatif baharu antara Pekan Kundasang dan Pekan Ranau untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.
Katanya, peruntukan itu juga termasuk pembinaan jambatan simen di Pensiangan dan Pitas untuk memudahkan pelajar ke sekolah yang selama ini menggunakan perahu.
Secara keseluruhan, katanya Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah diperuntukkan sebanyak RM424.53 juta bagi melaksanakan program membina dan menaik taraf jalan raya di kawasan bandar, luar bandar dan pekan kecil pada tahun depan.
Jelasnya, peruntukan itu juga merangkumi perbelanjaan untuk membina dan menaik taraf jambatan, cerun, bangunan kerajaan dan program infrastruktur yang lain. – Info X