KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyasarkan untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras tempatan di negeri itu kepada 30 peratus pada 2026, berbanding hanya 22.6 peratus ketika ini.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata bagi mencapai sasaran itu, Lembaga Padi dan Beras Negeri Sabah (LPBN) yang baru ditubuhkan diberi peruntukan khusus bagi melaksanakan projek berkaitan.
Katanya, sebanyak RM32.5 juta diperuntukkan dalam Belanjawan Sabah 2025 kepada lembaga berkenaan dalam usaha merancakkan kegiatan penanaman padi bagi meningkatkan hasil.
“Tahap SSL negeri yang rendah bagi bekalan beras iaitu pada kadar 22.6 peratus menyebabkan kebergantungan yang tinggi terhadap bekalan beras import bagi memenuhi permintaan.
“Justeru itu, penubuhan semula LPBN dijangka akan meningkatkan SSL makanan khususnya beras bagi memenuhi permintaan rakyat
dan seterusnya dapat mengurangkan import beras.
“Sebagai permulaan, sebanyak RM32.5 juta diperuntukkan kepada LPBN untuk operasi dan pembelian 60 unit jentera serta menaik taraf sistem pengairan di enam daerah pengeluar utama padi Sabah.
“Intervensi ini dijangka akan dapat meningkatkan pengeluaran padi untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus SSL beras tempatan pada 2026,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Masidi berkata, berkaitan dengan penanaman padi juga, Belanjawan Sabah pada tahun depan meneruskan pemberian Insentif Pembajakan Sawah Padi dengan peruntukan sebanyak RM26 juta, berbanding RM18 juta pada tahun ini.
Katanya, insentif subsidi pada kadar RM494 sehektar itu memberi manfaat kepada seramai 22,500 pesawah di Sabah setiap tahun.
Selain itu, Masidi berkata, tumpuan turut diberikan terhadap usaha pemulihan sawah padi terbiar seluas 438 hektar di daerah Papar, Tuaran dan Sook yang disasar menghasilkan purata pengeluaran padi 2,190 tan metrik semusim.
“Projek ini dijangka dapat membekalkan keperluan beras untuk seramai 15,330 penduduk Sabah semusim berdasarkan penggunaan beras sebanyak 90 kilogram seorang setahun,” katanya. – Info X