Search

Belanjawan 2025: Kajian kebolehlaksanaan Projek Keretapi Trans-Borneo dibuat tahun depan

November 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kajian kebolehlaksanaan Projek Keretapi Trans-Borneo yang merentasi Sabah dan Sarawak dibuat pada tahun depan.

Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kajian itu disokong peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ia membabitkan kajian pembinaan rangkaian landasan kereta api merentasi Sabah dan Sarawak yang merangkumi jumlah jarak kira-kira 970 kilometer,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.

Sementara itu, Masidi berkata di Sabah, satu kajian kemungkinan dan reka bentuk awalan pembinaan sistem kereta api yang menghubungkan Putatan dengan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) juga dilaksanakan tahun depan.

Katanya, panjang jajaran landasan kereta api dalam cadangan itu ialah kira-kira 40 kilometer.

Beliau berkata, langkah itu antara usaha kerajaan negeri memastikan perkhidmatan kereta api yang terbaik dan kondusif dapat disediakan kepada rakyat di negeri ini.

“Justeru itu, Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) diperuntukkan sebanyak RM63.61 juta untuk perbelanjaan operasi dan meneruskan projek naik taraf serta penambahbaikan sistem kereta api pada tahun depan.

“Ia akan dilaksanakan melalui penyediaan aset pengangkutan yang mencukupi, infrastruktur landasan dan kemudahan yang bertambah baik serta sumber manusia yang terlatih,” katanya.

Masidi berkata, satu unit lokomotif juga akan ditambah pada tahun depan dalam usaha meningkatkan frekuensi perkhidmatan kereta api, selain memperkenalkan perkhidmatan baharu secara berperingkat,” katanya. – Info X