Search

PPK pertama USIA di Tanjung Aru

November 18, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) mewujudkan Pusat Pembangunan Komuniti (PPK) pertamanya dalam membangunkan program dakwah di Kampung Tanjung Aru, di sini.

Kemudahan yang dinamakan PPK Wanita USIA itu yang terletak berdekatan Masjid Al-Kautsar dibangunkan di atas tapak tanah milik USIA.

Selain sebagai pusat kegiatan pemerkasaan wanita melalui program yang menjurus kepada pembangunan modal insan seperti penguasaan ilmu pengetahuan, pengajian agama dan kelas al-Quran, kaunseling kekeluargaan serta aktiviti kemahiran, ia juga dicadang untuk dijadikan sebagai kelas KAFA.

Pusat yang dibina dengan kos RM200,000 melalui peruntukan daripada kerajaan negeri itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Samad Jambri, pada Ahad.

Dalam ucapannya, Samad berharap PPK itu diurus tadbir secara teratur dan konsisten agar dapat memberi impak signifikan kepada kesejahteraan ahli USIA dan masyarakat sekitarnya, khususnya di sekitar Tanjung Aru dan Kota Kinabalu.

“Secara peribadi, saya sangat dekat dan mengikuti setiap perkembangan USIA dalam penganjuran aktiviti keagamaan, kebajikan dan kemasyarakatan.

“Lebih-lebih lagi sejak di bawah kepimpinan Datuk Sapawi Ahmad selaku Yang Dipertua, nama USIA semakin terpancar sama ada di peringkat bahagian dan negeri, malah di peringkat nasional juga,” katanya.

Hadir sama Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad; Timbalan Yang Dipertua, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan; Ketua Wanita USIA, Datuk Aminah Aching dan Ketua Belia USIA, Datuk Jamawi Jaafar.

Samad berucap pada perasmian PPK Wanita USIA Tanjung Aru.

Turut hadir Setiausaha Agung USIA, Datuk Iman Ali dan Ketua Penerangan USIA, Datuk Salsidu Ibrahim.

Samad yang juga Naib Yang Dipertua USIA berkata, beliau menyedari usaha gigih Sapawi serta pimpinan badan bukan kerajaan (NGO) Islam itu dalam usaha merealisasikan Pelan Strategik Pembugaran USIA.

Katanya, pengwujudan PPK Wanita USIA Negeri Sabah adalah salah satu inisiatif kepemimpinan USIA untuk menjadikannya sebagai platform `Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan’.

Beliau yakin dengan terbinanya PPK itu akan menjadi wadah serta berperanan sebagai pusat aktiviti pemerkasaan wanita dan pembangunan dakwah.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang menggembleng usaha bersama bagi melancarkan pengoperasiannya.

“Kerjasama ini amat penting kerana setiap jabatan atau agensi mempunyai peranan dan tanggungjawab yang berbeza.

“NGO perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak swasta untuk bersama-sama memainkan peranan dalam pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Siti Aminah menyampaikan cenderamata kepada Samad selepas perasmian PPK Wanita USIA Tanjung Aru.

Sementara itu, Aminah dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri atas penyediaan peruntukan RM200,000 bagi pembinaan pusat berkenaan.

Beliau berharap pusat itu akan menjadi gedung ilmu untuk komuniti setempat, selain berhasrat untuk memperbesarkannya lagi pada masa depan.

USIA turut merancang untuk membina PPK di kawasan lain seluruh negeri sebagai langkah mengembangkan aktiviti NGO itu dalam mendekati masyarakat. – Info X