Search

Sidang DUN: Tenaga haba lautan jana tenaga baharu untuk Sabah

November 18, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Satu kajian awal kebolehlaksanaan bagi membangunkan projek perintis tenaga boleh baharu menggunakan teknologi Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC) dilaksanakan di Sabah pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kajian Universiti Teknologi Malaysia (UTM) OTEC melalui kolaborasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan dibiayai Program Boleh Baharu Marin Shell itu, dijangka siap pada akhir tahun ini.

Jelasnya, OTEC adalah unsur tenaga boleh diperbaharui yang memanfaatkan perbezaan suhu di antara air laut dalam dan permukaan air laut untuk penjanaan tenaga elektrik.

“Berdasarkan dapatan jururunding, Sabah boleh menghasilkan 20,000 megawatt (MW) tenaga, iaitu 15,000 MW di kawasan panta barat dan 5,000 MW di kawasan pantai timur Sabah menggunakan teknologi OTEC,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) mengenai perkembangan bidang OTEC di Sabah selepas kelulusan Enakmen OTEC Sabah 2024, baru-baru ini.

Hajiji berkata, setakat ini, Majlis Tenaga Sabah juga meluluskan tiga syarikat tempatan menjalankan kajian kebolehlaksanaan sebagai langkah proaktif menggalakkan pemain industri tempatan dalam pembangunan teknologi OTEC di Sabah.

“Syarikat terbabit diberikan tempoh setahun untuk memuktamadkan kajian mereka. Hasil kajian kebolehlaksanaan itu nanti akan diusulkan semula kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan dan kelulusan,” katanya.

Beliau berkata, lanjutan daripada kelulusan Majlis Tenaga Sabah itu, Energy Commission of Sabah (ECoS) pula mengeluarkan Conditional Letter of Award (CLOA) kepada tiga syarikat tempatan terbabit bagi pembangunan tenaga lestari.

“ECoS juga menerima minat daripada syarikat asing dari Australia dan United Kingdom untuk membangunkan teknologi OTEC di Sabah dan pihak ECoS sedang mengkaji cadangan itu,” katanya.

Selain itu, katanya, fokus teknologi OTEC diperkenalkan di Sabah juga adalah untuk penghasilan produk bernilai tinggi seperti hidrogen hijau, air mineral premium dan air industri sebagai satu industri baharu untuk meningkatkan pendapatan dan mencipta peluang pekerjaan.

“Ini juga selaras dengan inisiatif Ekonomi Biru Kerajaan Negeri Sabah yang bertujuan memanfaatkan sumber maritim dan perairan dengan lestari serta berdaya tahan,” katanya. – Info X