KOTA KINABALU: Kepemimpinan UMNO Sabah menghormati proses undang-undang dan menyatakan sokongan terhadap ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya, hari ini.
Menerusi satu kenyataan, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, juga menegaskan menerusi prosiding hari ini, Bung Moktar belum dan bukannya disabitkan bersalah.
Sebaliknya, beliau berkata Ahli Parlimen Kinabatangan itu hanya diminta membela diri untuk menyelesaikan proses undang-undang.
“Seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, proses yang dilalui adalah ‘pre mature’ dan memerlukan proses panjang untuk diputuskan,” katanya.
Mahkamah Rayuan pagi tadi memerintahkan kes rasuah Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan.
Berikutan itu, Bung Moktar dan Zizie yang sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta FELCRA dalam unit amanah Public Mutual Berhad, perlu membela diri.
Keputusan itu selepas panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini. – Info X