KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyangkal dakwaan berlaku masalah ketirisan dalam pengurusan Sabah International Petroleum (SIP) yang menyebabkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu dibebani hutang.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata apa yang berlaku terhadap syarikat itu ialah masalah hutang tidak berbayar kepada Bank Pembangunan Sabah (SDB) dan bank lain.
Bagaimanapun, katanya masalah hutang syarikat itu sudah diselesaikan menerusi penerbitan sukuk wakalah bernilai RM900 juta oleh GLC baharu kerajaan negeri, SMJ Energy (SMJE) bagi mengambil alih SIP pada tahun lalu.
“Soal ketirisan tidak timbul sama sekali. Kalau ada ketirisan dulu, itu soal lain, kita boleh serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kalau betul-betul ada salah laku.
“Apa yang menjadi masalah SIP ini adalah kerana hutang tidak berbayar,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan – Senallang) mengenai isu SIP dan SMJE pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Berikutan itu, Masidi berkata SIP kini bebas daripada masalah hutang dan boleh berdikari, malah berjaya menyumbang dividen RM200 juta bagi tahun lalu kepada SMJE.
Sementara itu, Masidi mengakui SMJE yang ditubuhkan sebagai GLC negeri yang terbabit dalam sektor minyak dan gas di Sabah tidak memiliki kepakaran dalam bidang berkenaan.
Bagaimanapun, katanya ia tidak bermakna pengurusan syarikat itu tidak mampu mengurus perniagaan dalam bidang berkenaan, memandangkan kepakaran boleh diperolehi melalui sumber luar, khususnya dari SIP.
“Mereka (SIP) ada kepakaran dan kerana itu kita ambil sebagai anak syarikat.
“Tidak perlu kita mengambil kakitangan ramai, kerana ada banyak kerja yang boleh dibuat melalui sumber luar. Sekarang SMJE cuma ada 23 kakitangan, jadi kita menjimatkan wang dari segi pentadbiran,” katanya.
Katanya, dalam zaman sekarang ada banyak cara yang boleh digunakan untuk mengurus syarikat, berbanding pada 1970-an dan 1980-an.
Mengenai dividen daripada SMJE, Masidi berkata syarikat itu akan mengumumkan jumlah dividen baharu kepada kerajaan negeri bagi tahun ini selepas bayaran RM50 juta pada tahun lalu.
Beliau juga menegaskan bahawa penubuhan SMJE adalah inisiatif kerajaan negeri untuk memastikan syarikat GLC yang bermula dengan bersih tanpa sebarang isu ketirisan. – Info X