Search

Sidang DUN : RM2.53 bilion bayar pampasan tanah

November 19, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sejumlah RM2.53 bilion digunakan untuk membayar pampasan atau kos pengambilan tanah bagi projek Fasa 1, Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang sedang dilaksanakan sekarang.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.32 bilion adalah kos bagi Fasa 1A, manakala sebanyak RM1.21 bilion bagi Fasa 1B.

Jelasnya, pembayaran pampasan kepada pemilik tanah diselesaikan melalui tatacara ditetapkan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) termasuk pewartaan, penilaian, pemberian tawaran, penerimaan tawaran daripada pemilik tanah dan proses pembayaran.

“Berdasarkan pengalaman pelaksanaan pakej kerja dalam Fasa 1A, apabila Surat Setuju Terima (SST) baru-baru ini dikeluarkan bagi pakej kerja Fasa 1B, Kementerian Kerja Raya negeri bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Kementerian Kerja Raya Persekutuan membentuk satu Jawatankuasa Pemandu untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Salah satu cabaran besar dalam projek Lebuhraya Pan Borneo adalah pengambilan tanah terutamanya tanah di bawah hak milik adat, iaitu tanah yang dimiliki oleh individu atau komuniti berdasarkan hak adat (NCR).

“Ia memerlukan proses yang lebih panjang kerana perlu mendapat kelulusan daripada pemilik tanah serta persetujuan secara perundangan.

“Selain itu, kekurangan sumber manusia (tenaga kerja) di pihak JTU Sabah dalam sudut membuat penilaian juga menyumbang kepada kelewatan proses penilaian dan pengambilan tanah,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah menjawab soalan tambahan Datuk Seri Yong Teck Lee (GRS-ADUN Dilantik) mengenai isu pampasan tanah dalam projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Sementara itu, menjawab soalan asal Teck Lee mengenai status pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ketika ini, Shahelmey berkata setakat ini baru empat pakej kerja siap, manakala 28 pakej kerja dalam pembinaan.

Selain itu, katanya dua pakej kerja masih dalam peringkat memuktamadkan perolehan dan satu pakej kerja dalam peringkat pengeluaran SST.

“Bagi Fasa 1A yang sedang dalam peringkat pembinaan, dijangka keseluruhannya siap menjelang Oktober 2026, manakala Fasa 1B pula dijangka siap keseluruhannya pada September 2028,” katanya. – Info X