Search

Anggota kerja Sabah Electricity diancam hingga cedera ketika bertugas

November 18, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Dua anggota kerja Sabah Electricity cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas ketika dikejar sebuah kenderaan lain yang dipandu seorang lelaki di Kampung Sepagaya, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, kedua-dua anggota sedang melaksanakan kerja pemotongan bekalan di rumah mempunyai tunggakan bil elektrik, sebelum seorang lelaki yang menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Vigo hitam menghampiri mereka dalam keadaan marah.

Berdasarkan kenyataan Sabah Electricity, ketika itu, kedua-dua anggota kerjanya berada dalam kenderaan jenis Mitsubishi Triton milik syarikat utiliti itu yang berhenti di bahu jalan sambil meneliti senarai arahan pemotongan bekalan.

Lelaki yang sedang marah itu kemudian bertindak secara paksa cuba membuka pintu kereta dinaiki anggota berkenaan, menyebabkan mereka membuat keputusan untuk beredar tetapi dikejar oleh lelaki terbabit dengan kenderaannya.

Katanya, ketika dikejar, kenderaan yang dipandu anggota kerja Sabah Electricity itu hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan sebelum terjunam ke kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Silam, dekat sini.

Akibat insiden itu, seorang anggota kerja Sabah Electricity telah mengalami kecederaan ringan pada tangan kiri manakala seorang lagi terseliuh kaki kiri.

Keadaan kereta pacuan empat roda milik Sabah Electricity yang terbabas menyebabkan dua anggota kerjanya cedera. – Foto/Sabah Electricity

“Laporan polis seterusnya dibuat Sabah Electricity kerana berlaku provokasi dan gangguan ke atas anggota kerja yang sedang menjalankan tugas,” kata kenyataan itu.

Berikutan insiden itu, Sabah Electricity mengingatkan ia tidak akan bertolak ansur terhadap apa saja ancaman yang membabitkan keselamatan anggota kerja syarikat itu ketika menjalankan tugas.

“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang secara sengaja mengganggu dan menghalang anggota kerja Sabah Electricity yang sedang menjalankan tugas,” katanya. – Info X