Search

Dakwaan skandal rasuah: ‘Asyik salahkan saya, salahkan Warisan saja’ – Shafie Apdal

November 18, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan tindakan menyalahkan pembangkang berikutan penyebaran dakwaan rasuah membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikaitkan dengan perlombongan mineral di Sabah, sebagai tidak wajar.

ADUN Senallang itu, berkata adalah tidak adil menuding jari terhadap pemimpin pembangkang, khususnya diri beliau dan Warisan setiap kali berlaku isu seumpama itu.

“Berkaitan dengan ketirisan mineral, ada wartawan tanya saya semalam mengenai dakwaan mengatakan isu itu salah pembangkang.

“Mana ada saya suruh Sindumin cakap begitu (dalam audio tular didakwa perbualan ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob).

“Bila pula salah pembangkang, jangan tuduh kita. Dulu kes (rasuah) Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) salahkan saya, asyik salahkan saya, salahkan Warisan saja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau dipercayai merujuk dakwaan skandal rasuah membabitkan beberapa ADUN Sabah yang dikaitkan dengan perlombongan mineral di Sabah berdasarkan klip audio dan video yang disebarkan sebuah portal berita baru-baru ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengesahkan seramai lima ADUN Sabah, diambil keterangan berhubung isu berkenaan.

Shafie yang juga bekas Ketua Menteri, berkata pendedahan kes seumpama itu adalah sesuatu yang serius dan perlu ditangani segera bagi menghentikan ketirisan sumber mineral negeri. – Info X