KOTA KINABALU: Enggan mendaftar dalam senarai e-Kasih kerana malu antara sebab masih ramai golongan miskin tegar tercicir.
Mendedahkan perkara itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata perkara itu dikesan ketika proses menjejaki Ketua Isi Rumah (KIR) yang tidak berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih.
Katanya, proses itu dilaksanakan pasukan petugas Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diberi tanggungjawab menangani kemiskinan tegar di Sabah.
Beliau berkata, berdasarkan kerja profiling terkini di lapangan, seramai 268 KIR dari seluruh Sabah dikesan tiada dalam daftar pangkalan data e-Kasih.
“Perkara ini disebabkan beberapa faktor seperti masalah kewangan untuk berurusan di Pejabat Daerah, kekangan pengangkutan untuk keluar ke pekan dan tiada akses kepada pendaftaran dalam sistem atas talian e-Kasih.
“Selain itu, keengganan KIR untuk mendaftarkan diri disebabkan rasa segan atau malu dan sebagainya juga antara sebabnya.
“Dapatan ini berdasarkan kerja profiling hasil aduan dan laporan awam yang dilaksanakan di 23 daerah daripada keseluruhan 28 daerah di Sabah dan 11 daerah kecil,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Jonnybone J Kurum (GRS-Telupid) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Jonnybone bertanya mengenai status perkembangan inisiatif kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan di Sabah melalui Pelan Pembangunan SMJ 1.0.
Nizam berkata, berdasarkan data dinamik dalam pangkalan data e-Kasih, setakat September 2024, Sabah merekodkan seramai 68,089 KIR berstatus miskin, manakala seramai 3,978 KIR masih berstatus miskin tegar.
Sebelum ini, katanya inisiatif kerajaan negeri menoktahkan miskin tegar di bawah Pelan Pembangunan SMJ 1.0 berjaya menyifarkan jumlah yang dikunci setahun sebelum itu.
Katanya, perkara itu dicapai pada 31 Julai lalu di bawah Program Menoktahkan Miskin Tegar Fasa Satu 2024 bagi pemurnian data yang dikunci pada Januari 2023.
“Ia membabitkan seramai 22,510 KIR dan 94,315 Ahli Isi Rumah (AIR). Kerajaan negeri tidak berhasrat untuk mengkaji semula keputusan menoktahkan miskin tegar yang lalu (Fasa 1-2024) kerana kerja sudahpun selesai dan dimuktamadkan pada 31 Julai 2024,” katanya.
Bagi usaha seterusnya, beliau berkata kerajaan negeri akan memperhebatkan lagi usaha menjejaki KIR dan AIR yang layak untuk mendapat bantuan bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir dalam Program Menoktahkan Miskin Tegar pada masa akan datang.
“Kerajaan negeri yakin bahawa lebih ramai lagi penduduk yang masih berstatus miskin tegar tetapi tidak berdaftar dalam sistem e Kasih.
“Sekretariat SMJ sedang menambah baik banci data kemiskinan dengan menggunakan indikator tambahan khusus untuk Sabah bagi penentuan status kemiskinan dan cadangan intervensi bantuan.
“Sistem Pangkalan Data Kemiskinan Negeri Sabah (PADANS) juga dibangunkan dengan tujuan penyimpanan data, solusi intervensi bantuan dan rujukan silang pada masa akan datang,” katanya.
Bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar Fasa Dua 2025, katanya kerajaan negeri komited meneruskan usaha menangani isu miskin tegar dan kategori miskin. – Info X