Search

Henti guna ‘laluan tikus’ melintas landasan kereta api – Polis

November 19, 2024

Info X Reporters

PUTATAN: Polis meminta orang awam supaya berhenti untuk menggunakan sebarang ‘laluan tikus’ melintasi landasan kereta api bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ini susulan kejadian seorang wanita maut manakala anak lelakinya parah dirempuh kereta api di Kilometer 10, landasan kereta api, simpang SK Petagas, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.05 tengah hari.

Katanya, hasil siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati mangsa warga tempatan bersama anak lelakinya dilanggar ketika sedang melintas landasan kereta api yang sedang menuju ke arah stesen kereta api Tanjung Aru.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diseret sejauh 50 meter.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, anak lelaki mangsa yang mengalami parah turut mendapatkan rawatan lanjut di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut laporan mati mengejut (SDR) dan polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

“Polis juga menasihati orang ramai supaya berhenti untuk menggunakan sebarang ‘laluan tikus’ melintasi landasan kereta api bagi mengelak kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak menularkan video di tempat kejadian di mana-mana platform media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Terdahulu, dalam insiden kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa Lena Gabin, 41, disahkan maut akibat dirempuh kereta api yang bergerak dari Stesen Putatan ke Stesen Tanjung Aru, manakala anak lelakinya berusia 11 tahun mengalami parah. – Info X