PUTATAN: Mangsa yang maut akibat dirempuh kereta api di Kampung Petagas, di sini, tengah hari tadi dipercayai sudah biasa berjalan kaki melintas landasan untuk menghantar dan menjemput anaknya dari sekolah.
Sepupu suami mangsa, Adnan Mohd Said, 47, berkata memang menjadi rutin hariannya melalui kawasan berkenaan, namun tidak diketahui apa yang menyebabkan mangsa tiba-tiba dirempuh kereta api, hari ini.
“Dia (mangsa) memang hari-hari melintas landasan dengan berjalan kaki dari rumah di Kampung Muhibbah untuk mengambil anak bongsunya di Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas.
“Sebab hari-hari saya nampak arwah lalu di depan rumah dan memang selalu bertegur sapa apabila terjumpa,” katanya ditemui di lokasi kejadian.
Dalam insiden pada kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa, Lena Gabin, 41, disahkan maut akibat dirempuh kereta api yang bergerak dari Stesen Putatan ke Stesen Tanjung Aru, manakala anak lelakinya berumur 11 tahun mengalami cedera parah.
Berdasarkan jadual perjalanan kereta api Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), kereta api yang beroperasi setiap hari dari Beaufort ke Kota Kinabalu itu kebiasaannya bergerak dari Stesen Putatan pada jam 12.54 tengah hari dan tiba di Stesen Tanjung Aru pada jam 1.10 tengah hari.
Kampung Petagas terletak di pertengahan antara Stesen Putatan dan Stesen Tanjung Aru, yang mana kereta api biasanya melintas pada kira-kira jam 1 tengah hari dan bergerak laju di laluan berkenaan pada setiap hari.
Lokasi kejadian tidak jauh dari lintasan rata Kampung Petagas yang menjadi laluan keluar masuk kenderaan ke jalan susur kereta api yang menghubungkan Kampung Petagas dengan jalan utama Putatan – Kota Kinabalu.
Ketika ini, hanya ada jejantas melintasi jalan utama menghubungkan Pekan Petagas dan Kampung Petagas, namun tiada jejantas pejalan kaki melintasi kawasan landasan kereta api.
Sementara itu, seorang saksi kejadian, berkata dia hairan apabila melihat kereta api tiba-tiba berhenti ketika melalui landasan di hadapan Kampung Petagas, sebelum ternampak ada orang dirempuh kereta api.
Dia yang dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan ke Kampung Petagas, segera menghampiri dan membantu anak mangsa yang cedera parah.
Katanya, dia juga ternampak jasad ibu kanak-kanak itu di bawah kereta api, sebelum orang ramai kemudian datang membantu disusuli pasukan perubatan yang membawa kedua-dua mangsa ke hospital. – Info X