KOTA KINABALU: Pemilihan Tongod yang jauh dari ibu negeri sebagai lokasi membangunkan kilang simen dan klinker disasar dapat mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan kerosakan jalan raya akibat pengangkutan bahan mentah.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Datuk Phoong Jin Zhe, berkata pembangunan kilang itu yang dilaksanakan di Pinangah, menggunakan konsep ‘captive and mine mouth’.
Jelasnya, pembinaan kilang di lokasi bahan mentahnya bukan saja dapat mengurangkan kos logistik bahan mentah, malah memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di Tongod.
“Pemilihan lokasi kilang bersepadu pembuatan klinker dan simen yang terletak di Pinangah, Tongod oleh Borneo Cement Sabah Sdn Bhd (Borneo Cement) kerana kawasan itu mempunyai ketersediaan sumber bahan mentah iaitu batu kapur, ‘shale’, batu pasir dan tanah liat bagi pembuatan klinker dan simen.
“Penerapan konsep pembangunan kilang secara ‘captive and mine mouth’ ini iaitu berhampiran dengan sumber bahan mentah sudah pasti dapat mengurangkan impak terhadap alam sekitar dan kerosakan jalan raya.
“Ini disebabkan pengurangan pergerakan logisitik seperti lori untuk mengangkut bahan mentah memandangkan sebahagian besar bahan mentah boleh diperolehi di kawasan kilang, kecuali ‘gypsum’ yang perlu diimport dari luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, petang semalam.
Beliau menjelaskan isu dibangkitkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan – Senallang) mengenai rasional pembinaan kilang itu di Tongod, lebih 250 kilometeri dari ibu negeri yang jaraknya sangat jauh dari pelabuhan.
Jin Zhe berkata, pergerakan logisitik bagi kilang berkenaan hanya tertumpu kepada pengangkutan produk siap iaitu simen ke kilang Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) di Sepanggar untuk pembungkusan.
Beliau berkata kilang yang masih dalam proses pembangunan itu mampu menghasilkan 1.75 juta metrik tan simen yang mana 1.2 juta metrik tan akan dihantar ke CIS untuk pembungkusan bagi memenuhi pasaran tempatan, manakala selebihnya akan dieksport. – Info X