TAWAU: Sebuah rumah di Felda Umas 03, Blok 5, di sini, musnah dalam kebakaran, pagi tadi.
Enam kenderaan termasuk empat motosikal turut musnah dalam kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba II, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 pagi.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya. Dua kereta jenis Perodua Kancil dan Proton Iswara Aeroback serta empat motosikal turut musnah terbakar.

“Pasukan bomba menggunakan dua pancutan daripada sumber air pili bomba berhampiran dalam operasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan seramai 16 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta dibantu seramai 10 anggota daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Umas.
“Kejadian itu membabitkan kemusnahan harta benda sahaja dan tiada mangsa dilaporkan cedera atau kemalangan jiwa berlaku.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 12.38 tengah hari,” katanya. – Info X