Search

JKNS buat siasatan dalaman nahas ragut nyawa pejalan kaki

November 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) mengaktifkan Lembaga Siasatan dalaman bagi menyiasat punca kemalangan yang meragut nyawa seorang wanita akibat dirempuh kereta api ketika cuba melintas landasan di Petagas, dekat sini, semalam.

Pengarahnya, Mohd Safri Abdul Habi, berkata pihaknya juga sudah membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mereka berhubung insiden itu.

Katanya, di pihak JKNS, langkah meningkatkan keselamatan pejalan kaki di kawasan landasan kereta api turut diambil dari semasa ke semasa bagi memastikan insiden seumpama itu dapat dielak daripada berulang.

“JKNS sudah memasang pagar tetapi tindakan lanjut akan dibincangkan bagi meningkatkan tahap keselamatan orang ramai di kawasan itu.

“Mesyuarat penyelarasan akan diadakan dengan jabatan lain, seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), untuk menentukan cara meningkatkan keselamatan pejalan kaki,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, tindakan yang diambil jabatan itu bukan saja tertumpu kepada usaha meningkatkan keselamatan pejalan kaki, malah penumpang yang menggunakan perkhidmatan kereta api.

Dalam insiden pada kira-kira jam 1 tengah hari semalam, mangsa, Lena Gabin, 41, disahkan maut akibat dirempuh kereta api yang bergerak dari Stesen Putatan ke Stesen Tanjung Aru, manakala anak lelakinya berumur 11 tahun mengalami cedera parah.

Ketika kejadian, mangsa bersama anaknya yang baru diambil dari Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas dalam perjalanan pulang ke Kampung Muhibbah, Petagas sebelum dirempuh kereta api ketika cuba melintas landasan. – Info X