Search

Sidang DUN: JKNS pantau suasana kerja hospital, fasiliti kesihatan

November 21, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memantau suasana kerja di semua hospital dan fasiliti kesihatan di negeri ini bagi menangani insiden buli dan tekanan kerja.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng, berkata ia antara langkah susulan berikutan dakwaan buli hingga menyebabkan kematian doktor di sebuah hospital di pantai timur, baru-baru ini.

“Bagi menangani dan membanteras masalah ini pada masa hadapan, pihak JKNS akan terus memantau suasana kerja di hospital dan fasiliti kesihatan di negeri ini bagi mengenal pasti isu berkaitan tekanan kerja dan insiden buli dalam kalangan petugas kesihatan.

“Inisiatif untuk memperbaiki pengurusan tekanan kerja dan menyokong kesejahteraan mental kakitangan juga akan turut diperkasakan,” katanya.

Beliau berkata demkian ketika menjawab soalan Alias Sani (Warisan – Sekong) mengenai langkah yang diambil kerajaan negeri terhadap kes viral membabitkan doktor perubatan di Hospital Lahad Datu hingga menyebabkan kematian pada Persidangan DUN, hari ini.
Sementara itu, Flovia berkata, kes itu diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk siasatan dan tindakan sewajarnya.

“Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KPMKR) melalui JKNS sudah menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden itu pada 3 September lalu dan laporan insiden sudahpun dikemukakan kepada KKM.

“Pihak KKM kemudian menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas Bebas pada 10 Oktober lalu yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah bagi menyiasat insiden itu.

“Pasukan itu diberi tempoh tiga bulan untuk mengemukakan hasil siasatan,” katanya. – Info X