BEAUFORT: Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Hajah Siti Aminah Aching berharap kerajaan dapat meluluskan peruntukan untuk membina serta menaik taraf beberapa buah masjid dan surau di kawasan Parlimen Beaufort.
Katanya, keperluan itu mendesak memandangkan terdapat beberapa buah masjid dan surau yang sudah lama dibina kelihatan uzur selain tidak dapat menampung keperluan jemaah setempat.
Menurut beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO daripada butiran 04801 Pembinaan Masjid ,Surau dan Pembaikan Naik Taraf dengan nilai peruntukan sebanyak RM55 juta dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini adalah diharapkan kawasan Parlimen Beaufort tidak terpinggir daripada peruntukan tersebut.
“Dari jumlah yang telah dibentangkan, saya berharap kawasan Parlimen Beaufort tidak akan terpinggir dari menerima peruntukan tersebut memandangkan terdapat keperluan mendesak untuk membina serta menaik taraf beberapa buah masjid dan surau di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Katanya, antara masjid dan surau yang memerlukan peruntukan ialah masjid Nurhidayah Kampung Nukahan yang dibina sejak 1970 yang mana keadaan masjid itu semakin usang dan memerlukan pembinaan sebuah masjid baharu di kampung itu.
“Selain usang, masjid yang sedia ada sudah tidak dapat menampung keperluan jemaah yang semakin meningkat dan pembinaan masjid baharu perlu dibuat.
“Selain untuk kegunaan masyarakat Islam setempat, orang ramai yang saban hari melalui jalan raya antara Beaufort dan Menumbok boleh singgah untuk solat di masjid ini,” katanya.
Selain itu, Siti Aminah juga mengemukakan cadangan untuk membina atau membaiki Surau Kampung Bukit Nuri Menumbok, dan pembinaan masjid baharu Kampung Melikai Menumbok.
Turut disentuh dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri kali ini ialah keperluan membina sekolah KAFA di beberapa buah kampung antaranya kampung Tanjung Aru, Menumbok dan Kampung Berangkok, Kuala Penyu.
Siti Aminah berkata, kedua-dua kampung itu tidak mempunyai bangunan KAFA sendiri, menyebabkan ia terpaksa menumpang di balai raya untuk menampung lebih 100 orang murid.
“Dari butiran 04802 Pembinaan Sekolah Agama dalam belanjawan 2025 tahun ini menjadi harapan rakyat di kawasan ini agar sekolah KAFA baharu dapat dibina dan saya meminta agar Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dengan sokongan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dapat mempertimbangkan permohonan ini,” katanya. – Info X