Search

Pembinaan jejantas melintasi landasan kereta api diberi keutamaan

November 22, 2024

Info X Reporters

PUTATAN: Pembinaan jejantas pejalan kaki melintasi landasan kereta api di Petagas, dekat sini, diberi keutamaan susulan insiden pejalan kaki dirempuh kereta api ketika cuba menyeberangi landasan pada Selasa lalu.

Kemudahan itu disasar dapat meningkatkan tahap keselamatan pengguna yang kini terpaksa mencari alternatif lain apabila menyeberang.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata jejantas itu sudah lama dirancang, namun belum dapat dilaksanakan sehinggalah dimasukkan sebagai projek keutamaan dalam Belanjawan Sabah 2025.

Katanya, projek jejantas yang dirancang itu adalah untuk menyambung struktur jejantas sedia ada yang ketika ini hanya melintasi jalan raya utama, manakala landasan kereta api yang terletak bersebelahan tidak dilengkapi kemudahan itu.

“Dalam Belanjawan Negeri Sabah 2025 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin, perancangan untuk membina jejantas di kawasan itu turut dimasukkan.

“Jadi, saya minta keutamaan diberikan kepada pembinaan jejantas ini dalam waktu yang terdekat,” katanya ditemui selepas menziarahi ahli keluarga mangsa kemalangan kereta api di Kampung Muhibbah, Petagas, di sini, petang tadi.

Shahelmey menziarahi ahli keluarga mangsa kemalangan kereta api di Kampung Muhibbah, Petagas. – Foto/Pejabat TKM III

Sementara itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan, berkata lawatan berkenaan sebagai tanda prihatin beliau atas musibah yang menimpa keluarga terbabit.

Hadir sama memberi sumbangan kepada keluarga mangsa ialah Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang; Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), Ir Mohd Safri Abdul Habi; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri dan Pegawai Penerangan Daerah Putatan.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 1 tengah hari, Selasa lalu, seorang wanita dari Kampung Muhibbah, Petagas maut, manakala anaknya parah selepas dirempuh kereta api ketika cuba menyeberangi landasan dengan berjalan kaki.

Ketika kejadian, mangsa yang menjemput anaknya pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas, dikatakan tidak menyedari kedatangan kereta api yang bergerak dari arah pekan Putatan ke Tanjung Aru. – Info X