Search

Jamawi akan pertahan jawatan Ketua Belia USIA

November 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penyandang Ketua Badan Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Jamawi Jaafar akan mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan mesyuarat Agung USIA Ke-38 yang diadakan pada 6- 8 Disember ini, di Kota Kinabalu.

Difahamkan, beliau akan dicabar oleh Ketua Belia USIA Bahagian Tamparuli, Syahfiq Edul dalam pertandingan satu lawan satu.

Jamawi yang menyandang jawatan tersebut sejak tahun 2015 membuat keputusan mempertahankan jawatan tersebut kerana menghormati hasrat Ketua Belia bahagian-bahagian yang mencalonkan beliau untuk meneruskan kepimpinan bersama Belia USIA.

Jamawi Jaafar.

“Saya menghormati pencalonan dari rakan-rakan Ketua Belia USIA bahagian yang mahukan saya mempertahankan jawatan Ketua Belia USIA pada pemilihan kali ini dan insyaAllah kita pikul tanggungjawab yang diberikan sekiranya diberikan mandat oleh perwakilan pada pemilihan kali ini,” katanya.

Pada pemilihan kepimpinan tertinggi Belia USIA tahun ini, lebih separuh daripada ahli jawatankuasa Belia USIA Pusat yang sedia ada akan mengundurkan diri di mana majoriti mereka sudah melebihi had umur 40 tahun.

Pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia tidak membolehkan mereka menduduki jawatankuasa dalam Belia Usia, kecuali untuk jawatan Ketua Belia yang mana jawatan kuasa tertinggi telah memutuskan ianya boleh dipegang belia yang melebihi usia 40 tahun.

Dalam pada itu Jamawi turut menzahirkan penghargaan serta terima kasih kepada Ketua-Ketua dan ahli jawatankuasa Belia USIA yang bakal mengakhiri tugas mereka bersama Belia USIA selepas pemilihan kali ini.

Menurut beliau tanpa sokongan kerjasama serta semangat kerja berpasukan yang menjadi budaya kerja gerakan Belia USIA, sudah pasti beliau tidak mampu menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Belia USIA untuk tempoh tiga penggal sebelum ini.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang bakal meninggalkan gelanggang belia USIA tahun ini dan berharap mereka akan meneruskan perjuangan serta khidmat bakti dalam gerak kerja dakwah bersama kepimpinan USIA dibperingkat pusat, bahagian dan cawangan.

“Saya juga mengucapkan selamat datang dan selamat bertanding kepada calon-calon baru ahli jawatankuasa Belia Usia Pusat. Bertanding secara sihat dan penuh dengan semangat ukuwah dan seterusnya memikul tugas serta tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi sekiranya terpilih demi menyemarakkan gerakan dakwah dan memartabatkan agama Islam,” katanya.

Sepanjang tempoh tiga penggal Jamawi mengetuai Belia USIA Sabah, banyak program telah dilaksanakan baik di peringkat pusat, bahagian dan cawangan-cawangan.

Antaranya ialah Program Cakna Saudara Baru Pedalaman di Keningau, program Membara dan Ihya Ramdahan Bicara Anak Muda bersama ustaz Syamsul Amri Ismail (Syamsul Debat) di Tenom, Jambori Belia Usia Peringkat Negeri di Sandakan, Program Dakwah Bersama Pelajar IPT di Sepanggar Kota Kinabalu, Bantuan kepada mangsa kebakaran, keluarga kurang berkemampuan dan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan semasa negara di landa COVID-19, Program Ziarah Ramdahan dan Ziarah Dakwah di Pulau Kampung Keniogan Beluran.

Sementara itu, Ketua Belia Usia bahagian Sandakan, Ustaz Mohamad Sufan Bahrin ketika ditemui berkata, Jamawi wajar diberikan sokongan oleh para perwakilan untuk mengekalkan jawatan Ketua Belia Usia dalam pemilihan kali ini memandangkan reputasi cemerlang beliau memimpin Belia Usia selama ini.

Mohd Sufan Bahrin.

Mohamad Sufan berkata, selama beliau memimpin Belia Usia banyak program-program dakwah dan kebajikan telah dianjurkan meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Antara kekangan itu katanya ialah soal kewangan dan penularan COVID-19, namun kegiatan tetap dijalankan walaupun dalam skala kecil mengikut zon yang mana semuanya berjalan dengan baik dan teratur.

Bagi ahli jawatankuasa Belia Usia, Ustaz Mohd Said Awang Damit, berkata dengan latar belakang yang dimiliki oleh Jamawi sebagai pemimpin belia, sama ada dalam badan-badan NGO dan badan politik, sudah tentu beliau mempunyai daya kepimpinan dan kredibiliti untuk terus memimpin Belia Usia.

Mohd Said Awang Damit.

“Kepimpinan serta kredibiliti dari seorang pemimpin amat penting bagi memastikan Belia Usia terus melangkah ke hadapan mendepani cabaran bagi meneruskan kelangsungan gerakan dakwah di negeri ini,” katanya. – Info X