KOTA KINABALU: Seekor kucing yang terperangkap di penghadang tingkap bangunan di tingkat tiga, University Utama Condominium (UUC) Telipok, berjaya diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang berusaha menyelamatkan haiwan itu hampir sejam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.43 pagi tadi.
Berikutan itu pihaknya mengarahkan APM Kota Kinabalu daripada Skuad Delta dengan kekuatan lima anggota ke tempat kejadian.
“Setiba di lokasi, pengadu memaklumkan kucing miliknya terjatuh keluar dari tingkap ruang tamu rumahnya di tingkat tiga.
“Empat anggota lengkap dengan pakaian keselamatan menggunakan tangga, tali dan peralatan lain naik ke ruang luar di tingkat tiga.

“Selepas hampir sejam, anggota APM berjaya menyelamatkan kucing berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kucing dewasa itu diserahkan semula kepada pemiliknya.
“Operasi selesai pada jam 9.57 pagi,” katanya. – Info X