KOTA KINABALU: Seorang pelajar maut manakala rakannya cedera ketika dalam perjalanan hendak membeli makanan selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta berhampiran simpang masuk lorong Taman Cerah, Manggatal, di sini tengah hari tadi.
Mangsa lelaki yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya dikatakan baru tiba di sekolah berkenaan sebelum bergerak keluar semula bersama rakan perempuan untuk membeli makanan di gerai berdekatan.
Bagaimanapun ketika dalam balik semula ke sekolah, motosikal mangsa terbabit kemalangan dengan sebuah kereta jenis Honda HRV, kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal ditempat kejadian mendapati kereta Honda HRV yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an datang dari arah Jalan Pintas Tuaran.
“Sebaik tiba di tempat kejadian kereta itu membelok masuk simpang Taman Cerah sebelah kanan lalu datang sebuah motosikal Yamaha Y15 ditunggang mangsa bersama pembonceng perempuan tempatan dari arah sama cuba memotong lalu menyebabkan perlanggaran di bahagian sisi kanan kereta Honda HRV.
“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal seorang pelajar yang cedera dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKL), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun tidak lama selepas itu mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas. – Info X