Search

Rumah roboh, bomba selamatkan 9 sekeluarga

November 23, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Sembilan sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumah didiami di perkampungan atas air di Kampung Air, di sini, roboh dalam kejadian, tengah hari tadi.

Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang terselamat adalah seorang lelaki dan tiga wanita dewasa serta lima kanak-kanak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Pegawai Bomba Tinggi II, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.11 tengah hari.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai BBP Air Semporna digerakkan ke lokasi kejadian dan sebaik tiba didapati sebuah rumah atas air roboh.

Keadaan rumah yang roboh di Kampung Air, Semporna. – Foto/Bomba

“Terdapat sembilan mangsa di dalam rumah yang roboh telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba di lokasi dan semua mangsa dalam keadaan selamat.

“Semua mangsa dipindahkan ke balai raya kampung untuk penempatan sementara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 2.59 petang. – Info X