Search

Utamakan keselamatan kampung, elak tragedi menimpa penduduk

November 25, 2024

Info X Reporters

KIULU: Pemimpin kampung digesa supaya memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan komuniti bagi mengelak sebarang tragedi di kampung masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, berkata pemimpin komuniti perlu mengambil usaha ke arah mencegah risiko keselamatan yang berpotensi mengundang insiden serius terhadap penduduk.

Beliau berkata, insiden dua kanak-kanak perempuan mati lemas di kolam ikan yang tidak berpagar di Kampung Rungus Nahaba, di sini, perlu dijadikan pengajaran.

“Kita mesti jadikan ini sebagai pengajaran untuk meningkatkan tahap keselamatan dalam komuniti kita,” katanya selepas melawat keluarga mangsa, hari ini.

Mangsa, Frederica Mousi dan Ernesty Joannes, kedua-duanya berumur tujuh tahun yang juga murid tahun satu di SK Rungus Nahaba.

Difahamkan, kedua-dua mangsa bersama kawan lain pergi ke kolam ikan yang terletak tidak jauh dari rumah mereka, semalam.

Menurut keluarga mangsa, operasi mencari dilakukan segera selepas dua kanak-kanak perempuan itu disedari pergi ke kolam berkenaan sebelum kedua-duanya ditemui di kolam terbabit pada kira-kira jam 4 petang.

Joniston menyatakan simpati dan takziah kepada Muliana Tungki atas kehilangan anaknya, Frederica Mousi, 7, yang ditemui mati lemas dalam kolam ikan di Kampung Rungus Nahaba.

Joniston meluahkan perasaan simpati kepada kedua-dua keluarga mangsa iaitu ibu bapa Frederica, Mousin Kolinang dan Muliana Tungki serta ibu bapa Ernesty, iaitu Joannes Kopitan dan Suzie Lydia.

Katanya, aspek keselamatan penting dalam semua aspek kehidupan termasuk memastikan keselamatan di kawasan berpotensi mengundang bahaya seperti kolam, sungai dan kawasan awam lain.

Beliau juga menggesa pemilik kolam untuk memagar kawasan kolam mereka bagi mengelak kemalangan yang sama berulang pada masa depan.

Katanya, kanak-kanak juga perlu sentiasa dipantau dan memastikan mereka tidak dibiarkan tanpa ditemani di kawasan berbahaya.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu turut mengingatkan mengenai pentingnya melindungi keselamatan penduduk dan pengunjung, sejajar status Kiulu sebagai tarikan pelancongan.

Berikutan itu, beliau menggesa Pejabat Daerah Kecil Kiulu dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) bekerja rapat dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ketua Kampung bagi mengenal pasti risiko, menggalakkan kesedaran keselamatan dan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti. – Info X